Pernah tak anda mengalami situasi di mana anak anda tiba-tiba menjadi sangat pendiam, enggan bercakap dengan sesiapa, menangis tanpa sebab jelas, atau sering mengadu sakit perut setiap kali nak ke sekolah? Jika ya, ini bukan semata-mata perangai anak yang "mengada-ngada". Ini mungkin tanda-tanda anxiety (keresahan) yang dialami kanak-kanak, satu respon emosi yang sangat real tetapi sering disalahertikan.
Tanda Anxiety yang Sering Disalahertikan
Anxiety pada kanak-kanak kadangkala sukar dikenali kerana mereka tidak mampu meluahkan apa yang dirasai dengan jelas. Biasanya, anxiety ini muncul dalam bentuk:
-
Malu yang keterlaluan: Anak yang selalu ceria tiba-tiba menjadi sangat pendiam apabila berada dalam situasi sosial atau berjumpa orang baru.
-
Enggan bercakap atau "shut down": Kanak-kanak yang biasanya aktif bercakap tiba-tiba enggan bersuara apabila merasa tertekan atau cemas.
-
Menangis tanpa sebab jelas: Air mata yang tiba-tiba mengalir tanpa sebab ketara sering kali merupakan cara mereka mengekspresikan rasa takut atau bimbang.
-
Masalah fizikal seperti sakit perut: Ini paling biasa berlaku terutamanya ketika pagi sebelum pergi ke sekolah atau menghadapi sesuatu situasi baru.
Mengapa Anxiety Berlaku?
Secara psikologi, anxiety berlaku apabila kanak-kanak merasa terancam atau takut dengan sesuatu yang belum pasti. Ia boleh dicetuskan oleh pelbagai perkara seperti suasana baru, tekanan akademik, konflik dalam keluarga, atau pengalaman traumatik yang pernah dilalui.
Menurut kajian tempatan oleh Ang et al. (2020), 54% daripada 224 kanak-kanak yang disaring menunjukkan gejala keresahan seperti separation anxiety, social anxiety, dan school avoidance. Selain itu, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2011 melaporkan peningkatan prevalens masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak berumur 5 hingga 15 tahun dari 13% pada 1996 kepada 20% pada 2011. Kajian oleh UNICEF Malaysia (2023) pula mendapati bahawa 52.71% remaja mengalami keresahan ringan, manakala 30.99% mengalami keresahan sederhana hingga teruk.
Cara Membantu Anak Mengatasi Anxiety
Sebagai ibu bapa atau penjaga, peranan anda sangat penting. Ini beberapa langkah praktikal yang boleh membantu:
-
Wujudkan persekitaran selamat: Berikan ruang untuk anak anda bercakap tentang perasaan mereka tanpa rasa dihakimi.
-
Bina rutin yang jelas: Kanak-kanak dengan anxiety akan lebih tenang dengan rutin yang konsisten.
-
Ajarkan teknik tenang: Latih mereka dengan teknik pernafasan dalam atau mindfulness yang ringkas tetapi efektif.
-
Galakkan aktiviti fizikal: Sukan dan aktiviti fizikal terbukti mampu mengurangkan tahap stres dan anxiety.
Dapatkan Sokongan Profesional
Jika anxiety anak anda semakin teruk dan menjejaskan kehidupan seharian, segera dapatkan nasihat pakar psikologi kanak-kanak. Intervensi awal boleh membantu anak anda mengawal anxiety dengan lebih efektif.
Ingat, anxiety bukan kelemahan karakter anak anda. Ia adalah respon emosi semulajadi yang boleh dikendalikan dengan sokongan yang betul.